Friday, 2 September 2016

Kuih Bakar @ Bingka Pandan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Petang tadi saya merajinkan diri membuat kuih bakar atau bingka pandan untuk minum petang kami. Alhamdulillah, walaupun pertama kali membuatnya... namun hasilnya sangat memuaskan hati. Cuma memang perlu menunggu dengan sabar sehingga bingka pandan ini masak sepenuhnya.

Resepi untuk bingka pandan ini saya rujuk di blog Kak Yatie yang mana resepi asalnya daripada Joayee. Pada yang berminat untuk mencuba resepi ini, bolehlah mencuba nanti. Ini kerana bingka pandan ini memang sangat sedap dan lembut serta cukup rasa lemak manisnya.


Bahan-bahan:

  • 1 cawan gula pasir (saya guna gula castor).
  • 1 cawan jus pandan (Saya ikut Kak Yatie: kisar 4 helai daun pandan bersama 1 cawan air. Kemudian tapiskan).
  • 2 1/4 cawan santan (saya guna 1 cawan santan pekat dan selebihnya tambahkan air).
  • 2 sudu besar mentega ( cairkan dan sejukkan).
  • 2 cawan tepung gandum.
  • 3 biji telur.
  • 1/2 sudu teh garam.
  • Sedikit pewarna hijau (saya tambah sedikit paste pandan)
  • Bijan (saya tak letak)

Cara Buat:
  1. Campurkan kesemua bahan dan blend sehingga sebati.
  2. Sapukan loyang dengan sedikit butter atau minyak.
  3. Panaskan oven selama 15 minit.
  4. Tuangkan adunan ke dalam loyang. Taburkan bijan bagi yang suka.
  5. Bakar dalam oven dengan suhu 180c menggunakan api atas dan bawah sehingga masak (atas bingka keperangan).

Kuih Bakar @ Bingka Pandan selepas keluar dari oven.
Saya lebihkan masa membakar sebab nak bagi bahagian atasnya garing.
Bingka Pandan setelah dipotong...
Sedikit comot sebab potong masa kuih masih panas (dah tak sabar nak makan).

No comments:

Post a Comment