Sunday 20 August 2017

Kisah Anak Autisme Part 1

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Tergerak di hati untuk mencoretkan kisah anak syurga kami di ruangan ini. Banyak kisah yang kami lalui dalam mendidik dan membesarkan anak syurga kami Naim. Segala perkongsian di sini merupakan pengalaman kami sendiri. Mana yang baik semoga dapat dijadikan panduan dan perkongsian bersama bagi sesiapa yang juga mempunyai anak autisme.

Naim pada waktu kecilnya juga sama seperti kanak-kanak lain yang sedang membesar. Tidak pernah terlintas di fikiran pun yang anak kami sebenarnya adalah autisme. Naim membesar dengan normal dan sangat suka berkawan dan bermain bersama-sama dengan kawan yang lain. Kami juga tidak mengesyaki apa-apa, mungkin juga masa itu kurangnya ilmu dan pengetahuan kami tentang autisme ini.

Naim juga hadir rutin check up di Klinik Kesihatan seperti biasa. Sehingga usianya 3 tahun 6 bulan... Naim masih belum boleh bercakap, kami diminta untuk refer naim ke Klinik Pakar Kanak-kanak di Hospital Melaka. Perjumpaan kali pertama dengan doktor pakar berjalan lancar... kami diminta untuk menjawab beberapa soalan yang doktor kemukakan. Doktor juga mengambil dan mencatat semua maklumat berkenaan kelahiran Naim dan perkembangannya hingga kini. Kami juga diberi penerangan tentang autisme oleh doktor berkenaan... saat itu perasaan kami mula bercampur-aduk sedih dan juga risau akan masa depan Naim. Tetapi, doktor masih tidak boleh membuat keputusan sama ada Naim autisme atau tidak. Kami diminta hadir untuk appointment yang seterusnya supaya doktor dapat memantau perkembangan Naim setiap bulan. Kami juga diminta menghantar Naim untuk menjalani Speech Therapy kerana doktor menjangkakan Naim hanya mengalami speech delay sahaja pada masa itu.

Maka, bermulalah episod perjumpaan dengan doktor pakar pada setiap bulan untuk memantau perkembangan Naim. Selama hampir dekat setahun kami berulang-alik ke hospital untuk berjumpa doktor pakar, menjalani terapi percakapan, terapi carakerja, dan juga pemeriksaan telinga. Satu demi satu perubahan pada Naim mula ketara dan semuanya berada dalam kategori autisme.  Walaupun saat itu saya teramat sedih, dan adakalanya bila bersendirian saya akan menangis mengenangkan Naim. Tetapi, enSuami yang sentiasa tenang selalu mengingatkan saya untuk menerima keadaan Naim dengan seadanya. enSuami juga selalu mengingatkan saya walaupun Naim autisme,  ramai juga di luar sana merupakan autisme tetapi boleh hidup berdikari dan berjaya. Dan akhirnya, kami sedia menerima apa jua keputusan doktor mengenai Naim.  Saat itu saya rasa semangat saya kembali kuat dan saya semakin redha dengan ketentuan Allah yang menganugerahkan anak istimewa ini buat kami.

Akhirnya, hasil diagnosis oleh doktor mendapati Naim tergolong di kalangan kanak-kanak AUTISME. Saat itu, tiada lagi airmata yang tumpah seperti hari-hari sebelumnya. Sudah puas saya menangis sebelum itu sehingga akhirnya saya sedar tangisan takkan mengubah apa-apa. Saya juga lebih bersikap terbuka dan meneruskan prosedur yang seterusnya untuk membuat kad OKU. Alhamdulillah urusan kami dipermudahkan... Melihat wajah anak kecil yang suci bersih ini membuat hati saya luluh... maafkan mama sayang kerana sering tidak memahami dirimu.

Saat itu, saya juga mula mencari ilmu berkenaan autisme dan melengkapkan diri sedikit demi sedikit dengan kemahiran dan cara-cara untuk memahami setiap kehendak dan keperluan anak syurga ini. Semoga Allah sentiasa mempermudahkan urusan kami dalam mendidik dan membesarkan anak syurga ini. Muhammad Naqiuddin Naim kamu adalah anugerah terindah buat mama dan ayah. Semoga Allah sentiasa melindungi dirimu sayang.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment